SAKIT JANTUNG PEMBUNUH NO 1 DI MALAYSIA

SAKIT JANTUNG PEMBUNUH NO 1 DI MALAYSIA

Setiap individu atau keluarga sentiasa inginkan suasana ceria dan sihat dari segi fizikal, mental dan sosial. Namun, semasa kita berada dalam keadaan riang gembira, sesuatu yang tidak terduga boleh berlaku secara tiba-tiba. Sakit jantung boleh terjadi pada bila-bila masa walau di mana anda berada. Sakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia.

Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh dicegah, dirawat dan dielakkan. Jantung adalah organ yang terdapat di dalam badan kita. Ia dibina dari otot yang kuat dan mendapat bekalan darah dari jaringan saluran darah yang mengelilinginya. Jantung mengepam darah untuk membekalkan oksigen dan zat makanan ke seluruh badan melalui sistem peredaran darah. Jantung yang sihat berupaya mengepam 10 ribu liter darah sehari dan berdenyut kira-kira 100 ribu kali sehari iaitu antara 60 hingga 80 kali seminit. Sakit jantung berlaku apabila salur darah jantung menjadi sempit. Penyempitan ini berlaku kerana dinding sebelah dalam saluran darah diselaputi lemak terutamanya kolesterol.

Jika saluran darah menjadi sempit, maka ada bahagian jantung yang tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi. Ini akan mengakibatkan berlakunya sakit dada. Jika saluran darah tertutup sepenuhnya sebahagian dari jantung anda akan rosak mengakibatkan sakit dada yang teramat sangat. Keadaan ini dikenali sebagai sakit jantung.

Di antara tanda-tanda sakit jantung ialah pesakit akan berasa sesak nafas, berdebar, letih lesu, berpeluh dingin, rasa pitam, dan pengsan. Apakah faktor-faktor yang memungkinkan sakit jantung? Merokok menambah kemungkinan anda mengalami sakit jantung sebanyak tiga hingga enam kali. Di antara kesan asapa rokok ialah pertama, pembekuan darah. Kedua, pemendapan lemak di dinding saluran darah dan ketiga, mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.

Tekanan perasaan juga boleh mengakibatkan anda mengalami degupan jantung yang meningkat dan tekanan darah juga turut meningkat. Keadaan ini akan mengakibatkan seseorang itu mengalami sakit jantung. Kandungan lemak yang tinggi dalam badan juga akan mempertingkat risiko kepada penyakit jantung. Seseorang yang kurang menjalani aktiviti fizikal atau bersenam akan meningkatkan risiko sakit jantung.

Senaman adalah penting bagi menguatkan otot, dan membaiki pengaliran darah ke jantung. Penyakit darah tinggi juga akan mengakibatkan sakit jantung. Penyempitan saluran darah akibat dari darah tinggi akan menyebabkan jantung terpaksa mengepam darah lebih kuat. Akibatnya saluran darah akan menjadi lebih tebal dan ini akan menyukarkan saliran darah ke seluruh tubuh badan. Oleh itu, lebih tinggi tekanan darah maka akan lebih besarlah risiko serangan jantung.

Kesan daripada saluran darah menjadi lebih tebal juga akan mengakibatkan seseorang itu berisiko untuk menghidap diabetes. Mereka yang menghidap diabetes mempunyai dua hingga tiga kali kemungkinan serangan sakit jantung. Seseorang yang berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan adalah berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung. Seseorang yang mempunyai keturunan yang menghidapi penyakit jantung juga berisiko tinggi untuk turut sama menghidapinya. Penyakit jantung yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan timbunan lemak yang berterusan pada bahagian dalam saluran darah dan menghalang bekalan darah ke otot jantung dan boleh menyebabkan kematian secara mengejut.

Langkah-langkah kawalan adalah perlu bagi mengelakkan komplikasi penyakit jantung. Ia boleh dilakukan dengan mengamalkan cara hidup yang sihat. Kawal pemakanan anda. Kurangkan makanan yang mengandungi kolesterol, berminyak dan berlemak serta elakkan memakan makanan yang terlalu manis dan masin.

Mana kala tambah atau tingkatkan pengambilan makanan anda yang banyak mengandungi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang. Kurangkan pengambilan makanan yang berminyak atau bergoreng. Makan pada kadar yang sederhana untuk mengekalkan berat badan yang unggul dan ideal.

Awas! Hentikan merokok jika anda seorang perokok. Bagi membantu anda mengatasi perasaan ingin merokok, adalah disarankan supaya anda pertama, membuang semua rokok, mancis, pemetik api, dan bekas rokok. Kedua, mengadakan hobi atau aktiviti luar seperti berjalan-jalan atau berjoging. Ketiga, makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Keempat, kurangkan memakan makanan yang pedas dan kelima, menolak tawaran rokok daripada orang lain. Anda juga perlu bersenam dengan secukupnya kerana senaman boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Perkara-perkara yang perlu diambil kira semasa bersenam adalah pertama, senaman perlu dilakukan mengikut kesesuaian, keperluan dan kelapangan diri anda. Kedua, lakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan 20 minit setiap kali. Ketiga, mulakan aktiviti regangan sebelum senaman dan rehatkan diri anda selepas senaman. Keempat, lakukan senaman dengan beransur-ansur dan kemudian tingkatkan dari masa ke semasa. Kelima, pelajari teknik senaman dengan betul bagi mengelakkan kecederaan. Dan akhir sekali, dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan senaman jika anda belum pernah bersenam.

Sekiranya anda adalah seorang penghidap diabetes, anda mampu untuk mengawalnya. Diabetes boleh dikawal dengan cara, pertama, kurangkan pengambilan gula, lemak, kolesterol, dan karbohidrat dalam makanan. Kedua, ikut nasihat doktor untuk sekiranya anda perlu mengambil ubat atau insulin. Ketiga, lakukan senaman yang bersesuaian kerana ia dapat membaiki keberkesanan insulin. Keempat, lakukan ujian glukos darah atau ujian air kencing untuk mengetahui sama ada penyakit diabetes anda terkawal atau sebaliknya.

Anda juga perlu mengawal tekanan perasaan atau emosi agar anda tidak menghidapi tekanan darah tinggi yang seterusnya mengakibatkan penyakit jantung. Oleh itu, amalkan cara hidup yang sihat dan positif, ambil makanan yang seimbang dan sentiasa bersenam. Sayangilah jantung anda, sebagai mana anda menyayangi diri anda.

EMPAT TAHUN BERGANTUNG KEPADA JANTUNG TEKNIKAL

EMPAT TAHUN BERGANTUNG KEPADA JANTUNG TEKNIKAL

DUNGUN – Bergantung nyawa sepenuhnya kepada jantung mekanikal bukan suatu perkara mudah, apatah lagi apabila seseorang itu tidak mampu bergerak seperti insan lain.

Mohd Hamirul Mohd Rosdi, 19, remaja yang berdepan dengan dugaan itu terpaksa membawa alat bantuan jantung ‘Ventrical Assist Device (VAD)’ ke mana sahaja, bagaikan teman karib.

Sehingga kini, Mohd Hamirul Moh Rosdi dari Kampung Pinang Merah, Paka, masih menunggu penderma jantung sesuai dan kini tidak dapat bangun serta berjalan ekoran serangan strok sejak tiga bulan lalu.

Ibunya Norhaliza Yusof, 49, berkata anak ketiga daripada tujuh adik beradik tersebut disahkan mengidap penyakit jantung sejak empat tahun lalu setelah jantungnya membengkak dan kedua-dua injap jantungnya bocor.

“Sebenarnya, mula-mula Hamirul hanya demam tetapi setelah dibawa ke klinik dia masih tak sembuh dan dia mengadu sakit dada…tiba-tiba dia muntah berdarah dan kami terus bawa ke hospital, bila bawa ke hospital doktor suruh rujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) sebab jantungnya bermasalah.

“Kemudian, doktor sahkan kedua-dua injap jantungnya bocor dan jantungnya juga bengkak dan doktor nasihatkan supaya pembedahan untuk memasang VAD dijalankan bagi memastikan jantungnya berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya sewaktu kunjungan doktor dan jururawat dari IJN yang membuat pemeriksaan terhadap anaknya.

Norhaliza berkata sejak disahkan mengidap penyakit jantung, beliau dan anaknya terpaksa berulang-alik ke IJN tiga bulan sekali bagi menjalankan rawatan susulan.

“Selepas memasang alat berkenaan, Alhamdulillah Hamirul dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa dan beliau dapat ke sekolah, tetapi bateri pada alat tersebut perlu digantikan enam jam sekali dan kalau nak berjalan jauh, terpaksalah dia guna alat untuk mengecas yang disambungkan pada kereta.

“Hamirul terpaksa duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua kali iaitu pada 2014 dan 2015 sebab masa nak periksa, keadaannya tidak stabil dan terpaksa dimasukkan ke wad…sampai sekarang dia juga masih tak dapat sijil SPM sebab tak sempat nak habiskan semua kertas yang diambil kerana serangan jantung,” katanya.

Norhaliza berkata kehidupan anaknya terus diuji setelah beliau diserang strok tiga bulan lalu hingga menyebabkan anaknya ditempatkan unit rawatan rapi bagi pesakit strok setelah koma selama tiga minggu.

“Masa tu hanya Allah sahaja yang tahu, saya sebagai ibu pun ingat dia dah tak ada harapan sebab dia koma selama tiga minggu, tetapi semuanya kuasa Allah dan Hamirul sendiri sangat kuat semangatnya…Alhamdulillah, selepas tiga minggu dia kembali sedar dan kemudian dia ditempatkan di wad biasa selama 52 hari.

“Sekarang, Alhamdulillah dia dah semakin sembuh dan menunjukkan perubahan positif…dulu dia tak dapat nak bercakap, tangan dan kakinya sebelah kanan tidak dapat bergerak tetapi sekarang beliau dapat bercakap walaupun tidak lancar,” katanya.

Norhaliza berkata meskipun kehilangan suaminya, Mohd Rosdi Mahmud pada Jun lalu, akibat masalah jantung, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang menanggung kos rawatan anaknya.

“Sebelum ini, syarikat suami yang menanggung kos pembedahan dan rawatan Hamirul, tetapi kemudiannya semua kos ditanggung oleh kerajaan kerana ketika itu beliau masih lagi pelajar sekolah…memang saya syukur sangat-sangat sebab kalau nak tampung perbelanjaan semua ni memang tak mampu.

“Kos VAD pun mencecah jutaan ringgit dan kos rawatan di hospital serta IJN pun semuanya ditanggung…syukur, pihak IJN juga sangat prihatin, hari ini mereka datang ke rumah semata-mata untuk melihat perkembangan dan merawat anak saya sebab beliau tak mampu nak bangun dan tak dapat ke IJN sebab sepatutnya Hamirul perlu ke sana untuk rawatan rutin,” katanya yang juga berharap akan ada penderma jantung sesuai untuk anaknya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pembedahan Kardiotorasik IJN Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata Hamirul telah menjalani pembedahan jantung mekanikal sejak empat tahun lalu setelah kelemahan jantungnya yang tidak dapat diubati.

“Rawatan yang boleh kita lakukan ialah sama ada melalui rawatan pemindahan jantung atau trasplan dan gunakan jantung mekanikal untuk sementara…keadaan Hamirul sebelum ini bagus tetapi malangnya beliau diserang strok akibat pendarahan dalam otak.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama dan perkhidmatan yang diberikan oleh pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ), Hamirul dah mula menunjukkan perubahan yang positif sebab sebenarnya masa diserang strok keadaannya sangat kritikal tetapi sekang sudah banyak perubahan dan insya-Allah, dua tiga bulan lagi kalau keadaan semakin positif, dia mungkin dapat berjalan semula,” katanya.

Sempena kunjngan sempena kunjungan tersebut, Yayasan IJN turut menyampaikan sumbangan lebih RM2,000 meliputi wang tunai serta barangan keperluan termasuk tandas mudah alih, lampin pakai buang serta alat bantuan berjalan untuk membantu Hamirul.

Sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga Hamirul itu disampaikan Pengurus Yayasan IJN Ritzzawati Rosli Mohd kepada Norhaliza.

Ritzzawati berkata untuk tahun ini bermula Januari hingga September, Yayasan IJN membelanjakan kira-kira RM3 Juta bagi membantu 123 pesakit jantung yang memerlukan di seluruh negara.

“Untuk tahun lepas pula, di bawah program bantuan pesakit Yayasan IJN ini, kita telah membelanjakan sebanyak RM3.5 juta untuk bantu seramai 125 pesakit…memang kita sangat mengharapkan bantuan dan dana luar termasuk badan korporat untuk membantu pesakit jantung ini,” katanya. – Bernama

 

PESAKIT JANTUNG DI JANGKA MENINGKAT DALAM TEMPOH 5 TAHUN

PESAKIT JANTUNG DI JANGKA MENINGKAT DALAM TEMPOH 5 TAHUN

 

KUALA LUMPUR – Jumlah pesakit jantung di negara ini dijangka meningkat sebanyak tiga peratus kepada 28 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding 25 peratus ketika ini, kata Ketua Unit Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad.

Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan faktor peningkatan penyakit yang menjurus kepada serangan sakit jantung.

“Kajian National Cardiovascular Database menunjukkan trend peningkatan bagi penyakit hipertensi, diabetes, paras kolestrol tinggi, obesiti dengan amalan merokok merupakan faktor utama kepada serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek bernilai RM2 juta sumbangan Yayasan Sime Darby (YSD) kepada Unit Kardiologi PPUM di sini hari ini.

YSD diwakili Ahli Majlis Tertingginya, Datin Paduka Zaitoon Othman manakala PPUM diwakili Dr Wan Azman, Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Mohd Amin Jalaludin dan Pengarah PPUM Profesor Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.

Dr Wan Azman berkata risiko serangan sakit jantung biasanya berlaku di negara sedang membangun seperti Malaysia di mana cara hidup penduduknya berubah secara mendadak selain masalah tekanan hidup apabila berhijrah dari kampung ke bandar.

Beliau berkata, faktor penafian juga menyumbang kepada peningkatan serangan sakit jantung kerana ramai yang mengambil mudah terhadap serangan awal dan tidak peka dengan bahaya penyakit ini.

“Mereka seharusnya segera mendapatkan rawatan daripada doktor, namun mereka memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif yang ternyata tidak sesuai untuk mengubati sakit jantung,” katanya.

Secara purata 20,000 penduduk di Malaysia diserang sakit jantung setiap tahun dan 25 peratus daripadanya berumur di bawah 50 tahun.

“Tahap umur ini adalah ketika mereka berada di puncak kerjaya dan apabila berlaku serangan jantung, impaknya adalah terhadap kerjaya, keluarga dan masa depan mereka,” jelasnya.

Dr Wan Azman berkata pangkalan data pesakit jantung PPUM menunjukkan satu pertiga daripada 20,0000 pesakit itu tidak sempat diselamatkan kerana meninggal dunia di rumah atau ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Di PPUM, kira-kira 1,000 pesakit jantung melalui prosedur angioplasti koronari setiap tahun dan peratusan kejayaan prosedur itu adalah 96.5 peratus,” katanya.

Bagaimanapun PPUM mengharapkan bilangan pesakit menurun dengan adanya kemudahan kesihatan moden dan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap penyakit itu melalui maklumat yang banyak tersedia di media sosial.

Sementara itu Zaitoon berkata sumbangan RM2 juta itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan bagi membiayai kos prosedur angioplasti koronari di PPUM.

“Sumbangan ini diberikan untuk membiayai pesakit bagi tempoh dua tahun iaitu dari bulan ini sehingga Januari 2018,” katanya.

Dr Wan Azman menyasarkan seramai 200 pesakit jantung akan mendapat manfaat daripada sumbangan itu. – Bernama